Hanya kerana janji mahu memberikan sumbangan berupa wang tunai daripada
kerajaan DAP Pulau Pinang jika hadir, 3 orang warga emas iaitu Norma Yusof, 63,
Zainab Long, 74 dan Zainab Boo Ibrahim, 74 telah diperdaya dan diperalatkan
untuk hadir ke majlis yang dihadiri Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Teluk Bahang
pada Sabtu lepas.
Mereka memaklumkan seorang pemimpin PKR telah datang kepada mereka dan
menjemput untuk hadir dan seterusnya menerima sumbangan wang tunai seperti yang
dijanjikan.
Bagaimanapun, sehingga majlis itu berakhir, ketiga-tiga warga emas itu
pulang dengan tangan kosong tanpa menerima sebarang sumbangan wang tunai
daripada penganjur seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini.
Ketiga-tiga mereka itu berasakan seperti dipermainkan kerana pemimpin
pembangkang tersebut sanggup menipu penduduk kampung semata-mata mahu
menunjukkan rakyat menyokong kerajaan DAP Pulau Pinang.
Mangsa, Norma Yusof, 63, berkata, "Saya pergi majlis terbabit tetapi
nama saya tidak dipanggil untuk menerima bantuan. Apabila saya pergi berjumpa
dengan pemimpin PKR yang datang berjumpa saya Rabu lepas, dia cuba mengelak
daripada menjawab pertanyaan saya.
Seorang lagi mangsa, Zainab Long, 74, memberitahu beliau sanggup berjalan
kaki sejauh satu kilometer hanya untuk ke lokasi majlis dengan harapan menerima
sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung keluarganya.
Lebih menghibakan, bukan sumbangan yang diberikan sebaliknya senaskah
risalah kerajaan negeri, Buletin Mutiara yang diberikan. Malah, Zainab
menidakkan apa yang diterbitkan dalam Buletin Mutiara hanya sebagai pembohongan
kerajaan DAP dan Pakatan Pembangkang.
Dengan hati yang luntur, penganjur memberitahu namanya tidak ada dalam
senarai penerima sumbangan.
Begitu juga Zainab Boo Ibrahim yang melahirkan kesedihan kerana
memperalatkan warga emas sepertinya bagi kepentingan politik. Biarpun mereka
sedar dan tahu, kehidupan mereka miskin, tetapi sekalipun tidak pernah
menyusahkan orang lain. Apa yang dilakukan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan
penganjur majlis ternyata menyusahkan rakyat dan memalukan orang lain.







